28 Dis – Dengan sekali lafaz, penjaga
gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Nur Eilunie Natasha
Jaafar (Leuniey Natasha) kini sah bergelar pasangan suami isteri.
Majlis akad nikah telah diadakan di kediaman pengantin perempuan iaitu di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. Pasangan ini telah dinikahkan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh Imam Tua Mukim Pasir Pekan, Ustaz Ab Ghani Ab Talib dengan bersaksikan Abdul Malik Junoh dan Khairuddin Abu Bakar daripada keluarga pengantin perempuan serta Selamat Saimun dan Mohd Zuki Mat Min daripada pihak lelaki.
Dalam majlis tersebut, pihak pengantin lelaki telah menyerahkan mas kahwin dan wang hantaran bernilai RM19,000 serta tujuh dulang yang mengandungi barangan seperti kain, minyak wangi, beg tangan, cincin, kasut, alat solekan, jam tangan serta sirih junjung dan turut dibalas oleh tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan yang terdiri daripada kain, minyak wangi, jam tangan, kasut, cincin, sirih, dompet serta tali pinggang dan kemeja.
Apek, 23, bersyukur kerana majlis akad nikah telah berlangsung dengan selamat walaupun timbul kontroversi sebelum ini.